close
Pergi ke kandungan

Hungary

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Republik Hungary
ريڤوبليك هوڠݢري
Magyar Köztársaság
Lagu kebangsaan: Himnusz[1]
"Gita Puja"
Lokasi  Hungary  (jingga)– di Eropah  (tan & putih)– di Kesatuan Eropah  (tan)                  [Petunjuk]
Lokasi  Hungary  (jingga)

 di Eropah  (tan & putih)
 di Kesatuan Eropah  (tan)                 [Petunjuk]

Ibu negara
dan bandar terbesar}
Budapest
Bahasa rasmiHungary (Magyar)
PemerintahRepublik berparlimen
 Presiden
András Baka
Péter Magyar
Keluasan
 Jumlah
93,030 km2 (35,920 bt2) (109)
 Perairan (%)
3.7[2]
Populasi
 Perkiraan 2023
9,678,000[3] (ke-92)
105/km2 (271.9/sq mi) (ke-78)
KDNK (PPP)2023
 Jumlah
USD427 bilion[4] (ke-54)
 Per kapita
USD43,907[4] (ke-42)
KDNK (nominal)2023
 Jumlah
USD188 bilion[4] (ke-58)
 Per kapita
USD19,385[4] (ke-57)
Gini (2020)negative increase 28.3[5]
rendah
HDI (2021) 0.846[6]
sangat tinggi (ke-46)
Mata wangForint (HUF)
Zon waktuUTC+1 (CET)
 Musim panas (DST)
UTC+2 (CEST)
Kod panggilan36
Kod ISO 3166HU
DPT internet.hu1
  1. Juga .eu selaku sebahagian kesatuan Eropah.

Hungary (Bahasa Hungary: Magyarország disebut [ˈmɒɟɒrorsaːɡ] ) atau nama rasminya Republik Hungary (Bahasa Hungary: Magyar Köztársaság dengar) ialah sebuah negara nirpantai yang terletak di rantau tengah benua Eropah bersempadan dengan Austria, Slovakia, Ukraine, Romania, Serbia, Croatia dan Slovenia.

Hungary membentuk kumpulan Visegrád bersama Poland, Slovakia dan Republik Czech.

Nama Hungary serta akar Latinnya Hungaria (sebutan bahasa Latin: [hʊŋˈɡäriä]) dipercayai dipetik daripada nama perikatan Bulgar abad ke-7 bernama On-Ogur, iaitu istilah bahasa serumpun Turki bagi "sepuluh anak puak".[7][8][9][10] Nama ini juga pernah tercatat dieja أُنكَلِي Unkalī oleh Ibrahim bin Yaakub al-Tartusyi, seorang pengembara Sephardi Andalus semasa zaman Raja Al-Hakam II sedangkan pemeta-pemeta sezaman seperti Ahmad ibnu Rustah dan Tahir al-Marwazī menggunakan nama مَجْغَرِيَّة Majgharīyah[11][8][12] yang seterusnya melahirkan nama Arab مَجَر Majar atau مجار Macar terakam dalam persuratan Uthmaniyah.[13]

Kawasan yang kini dikenali sebagai Hungary ini pernah bernaung di bawah Empayar Rom dengan nama Pannonia. Setelah jatuhnya empayar tersebut, maka datanglah berbagai-bagai puak yang bertelagah untuk mendapatkan wilayah di Pannonia.

Pada abad ke-9, datangnya kaum Magyar yang diketuai Árpád ke tanah Pannonia untuk menduduki Pannonia. Pada tahun 1000 M, Raja István I menubuhkan Kerajaan Hungary dan menyebarkan agama Kristian di seluruh wilayahnya. Kerajaan Hungary mengalami konflik bersenjata dengan orang Mongol pimpinan Batu Khan pada abad ke-13[14], lalu kehilangan banyak nyawa rakyatnya sehingga terpaksa menjemput kaum dari rantau lain untuk mengisi semula kawasan yang dikosongkan oleh perang.

Sungguhpun begitu, Kerajaan Hungary tetap mampu menguatkan pengaruhnya di Eropah sebagai pusat kebudayaan dan kesenian di bawah pemerintahan Raja Mátyás (1458–90) ketika Zaman Pembaharuan. Begitu juga, budaya Hungary mempengaruhi budaya-budaya lain—contohnya, Komanwel Poland-Lithuania.

Pada masa yang sama, Kerajaan Hungary sekali lagi menghadapi ancaman daripada kuasa asing, kali ini balatentera Uthmaniyah yang berjaya menakluki wilayah Hungary dari tahun 1526 hingga 1686 kerana perpecahan di kalangan para pembesar Hungary, sebelum ditumbangkan oleh pihak Austria dan sekutu-sekutunya.

Austria dan Hungary bergabung membentuk Empayar Austria-Hungary di bawah pemerintahan keluarga Habsburg. Namun begitu, gabungan itu tidak berkekalan setelah menghadapi tentangan daripada orang Magyar, kekalahan dalam peperangan dengan kuasa-kuasa lain dan akhirnya kejatuhan selepas Perang Dunia I.

BERJAYA
Peta daerah-daerah di Tanah Jajahan St. Stephen (taklukan sebenar Kerajaan Hungary dan Croatia-Slavonia), 1886-1918

Pada bulan Mac 1919, tampuk pemerintahan Hungary diambil alih oleh pihak Komunis untuk tempoh yang singkat sebelum negara ini diduduki oleh pihak Romania sehingga bulan November tahun yang sama. Pada Februari tahun berikutnya, Kerajaan Hungary kembali di tangan orang tempatan dengan pemulihan sistem beraja yang menjadikan Laksamana Miklós Horthy sebagai Pemangku Raja.

Zaman antara berakhirnya Perang Dunia I dan bermulanya Perang Dunia II menyaksikan ketidakstabilan hebat dalam ekonomi dan politik Kerajaan Hungary. Apabila Perang Dunia II meletus, Hungary bersekutu dengan Kuasa Paksi yang dipimpin Jerman Nazi dan Itali Fasis sebelum mengakui kekalahan pada tahun 1945.

Selepas perang, Hungary kuat dipengaruhi fahaman Komunis yang dibawa masuk oleh pendudukan Soviet. Hungary menjadi sebuah negara komunis di bawah kepimpinan Mátyás Rákosi yang didapati rakyatnya sebagai kejam lalu tercetusnya Revolusi Hungary 1956 yang kurang berjaya. Kerajaan Komunis ini tumbang pada tahun 1989 seiringan dengan kejatuhan Kesatuan Soviet, maka Hungary memeluk ekonomi pasaran dan demokrasi pelbagai calon. Hungary menjadi ahli Kumpulan Visegrad pada tahun 1991, menyertai NATO pada tahun 1999, dan menjadi ahli Kesatuan Eropah pada 1 Mei 2004.

BERJAYA
Bangunan Parlimen Hungary di Budapest.

Presiden Republik yang dipilih oleh parlimen setiap lima tahun, berperanan lebih kepada keupacaraaan, seperti memilih tarikh pilihanraya parlimen.

Perdana Menteri dipilih oleh parlimen dan hanya boleh dilucutkan jawatan jika penggantinya dipilih serentak (undi tidak percaya yang membina). Perdana Menteri ini memilih akan menteri-menteri kabinet serta memegang hak eksklusif untuk melucutkan jawatan mereka. Setiap calon kabinet hendaklah tampil di hadapan sebuah atau lebih jawatankuasa parlimen dalam perbicaraan terbuka dan hendaklah menerima restu rasmi daripada Presiden.

Sebuah Dewan Undangan (Országgyűlés) yang tunggal dengan seramai 386 ahli merupakan badan berkuasa negeri yang tertinggi, meluluskan dan melaksanakan perundangan yang ditaja oleh Perdana Menteri. Pilihanraya parlimen kebangsaan diadakan setiap empat tahun.

Sebuah Mahkamah Perlembagaan dengan 11 ahli berkuasa untuk mencabar perundangan atas dasar berlawanan dengan perlembagaan.

Kawasan, daerah, dan subkawasan

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA
Daerah-daerah Hungary

Lihat Wilayah di Hungary

Secara pentadbiran, Hungary dibahagi kepada 19 daerah. Tambahan pula, ibu negaranya (főváros), Budapest, bebas daripada mana-mana pentadbiran daerah. Daerah-daerah dan ibu negara ini merupakan 20 unit peringkat ketiga NUTS Hungary.

Daerah-daerah ini dibahagi lagi kepada 167 subkawasan (kistérségek), dan Budapest terdiri daripada subkawasan sendirinya. Sejak tahun 1996, daerah-daerah ini serta Bandaraya Budapest dikelompokkan kepada 7 kawasan untuk tujuan statistik dan pembangunan. Tujuh rantau ini membentuk unit peringkat kedua NUTS Hungary.

Terdapat juga 23 bandar dengan hak kedaerahan (megyei jogú város) atau "daerah perbandaran." Pihak berkuasa bandar-bandar ini diluaskan lagi kuasanya, namun bandar-bandar ini tetap tergolong dalam wilayah daerah masing-masing dan bukannya merupakan unit yang berasingan.

Wilayah (dan pusat pentadbiran)
[sunting | sunting sumber]
BERJAYA
Peta topografi Hungary

Kira-kira separuh landskap Hungary terdiri daripada dataran tanah rata atau beralun di Lembangan Karpatos: kawasan padang yang terpenting termasuk Dataran Hungary Kecil di barat, dan Dataran Hungary Besar di tenggara. Altitud tertinggi dari paras laut pada Dataran Hungary Besar cuma 183 meter.

Transdanubia ialah sebidang rantau yang berbukit dengan muka tanah yang pelbagai ketinggiannya kerana gunung-ganang yang rendah. Ini termasuklah bentangan timur banjaran Alps, Alpokalja, di barat negara, Gunung Sederhana Transdanubia di rantau tengah Transdanubia, dan pergunungan Mecsek dan Villány di selatan. Puncak tertinggi kawasan ini ialah Írott-kő di banjaran Alps, iaitu 882 meter.

Gunung-gunung tertinggi negara terletak di Pergunungan Karpatos yang terletak di bahagian-bahagian utara, dalam loreng yang luas di sepanjang sempadan Slovakia (puncak tertinggi: Kékes pada 1,014 m (3327 kaki)).

Hungary terbahagi dua oleh jalan air utamanya, iaitu Sungai Danube (Duna); sungai-sungai besar yang lain termasuk Tisza dan Dráva, manakala di Transdanubia ada Tasik Balaton, sebuah isian air yang besar. Tasik terma terbesar di dunia, Tasik Hévíz (Hévíz Spa), terletak di Hungary. Tasik kedua terbesar dalam Lembangan Karpatos ialah Tasik Tisza (Tisza-tó) buatan manusia.

Hungary mengalami iklim benua, iaitu dengan musim sejuk yang dingin, mendung dan lembap serta musim panas yang agak panas. Suhu purata tahunan adalah pada 9.7 °C (49.5 °F). Suhu terpanas adalah pada 42 °C (110 °F) manakala suhu tersejuk pada −29 °C (−20 °F). Suhu purata musim panas ialah 27 hingga 35 °C (81 hingga 95 °F), manakala suhu purata musim sejuk ialah 0 hingga −15 °C (32 hingga 5 °F). Curahan hujan purata tahunan adalah kira-kira 600 milimeter (24 in). Sebuah rantau kecil di bahagian selatan negara berdekatan Pécs menikmati reputasi sebagai kawasan beriklim Mediterranean, tatapi sebenarnya hanya lebih panas sedikit berbanding tempat-tempat lain di negara dan juga bersalji pada msuim sejuk.

BERJAYA
Bank Negara Hungary
BERJAYA
Pinjaman bersih kerajaan am terancang 2005-2010.

Hungary terus menunjukkan pertumbuhan ekonomi sebagai salah sebuah negara ahli baru Kesatuan Eropah (sejak 2004). Sektor swasta meliputi 80% KDNK. Hungary memperoleh hampir satu pertiga daripada segala pelaburan langsung asing yang mengalir masuk ke Eropah Tengah. Pemilikan dan pelaburan asing berleluasa dalam firma-firma Hungary, dengan pelaburan langsung asing kumulatif mencecah AS$23 billion sejak tahun 1989. Penarafan kredit hutang kedaulatan Hungary ialah BBB+ pada Julai 2006, menjadikan Hungary satu-satunya negara EU yang tidak menikmati skor A selain Poland. Inflasi dan pengangguran kian meningkat selama beberapa tahun lalu, dan dijangka terus meningkat lagi. Kepercayaan pelabur asing dalam ekonomi Hungary turut merosot, kerana mereka mendapati bahawa langkah-langkah ketat yang dirancang pada separuh kedua 2006 tidak memuaskan, yang mana tumpuan mereka terutamanya pada menaikkan pendapatan dan bukan menyekat perbelanjaan kerajaan. Langkah-langkah pembaharuan ekonomi seperti pembaharuan kesihatan, pembaharuan cukai, dan pembiayaan kerajaan tempatan sedang ditangani kerajaan sekarang.

Kerajaan Hungary telah meluahkan hasratnya untuk memeluk matawang euro antara tahub 2010 dan 2014[15]. Bagaimanapun, penganalisa asing banyak mengkritik tarikh tersebut (2010) sebagai sangat tidak realistik kerana keadaan semasa ekonomi dibandingkan dengan kriteria Maastricht; penilaian mereka mendapati bahawa tarikh 2013-2014 untuk pemelukan Euro lebih realistik.

Demografi

[sunting | sunting sumber]

Menurut keputusan muktamad Banci Hungary 2022 oleh Pejabat Perangkaan Pusat Hungary (KSH), negara itu mempunyai 9,603,634 penduduk pada 1 Oktober 2022, berkurang sebanyak 333,994 orang atau 3.4% berbanding banci 2011. Jumlah penduduk di wilayah Hungary pada masa kini mencapai kemuncak sekitar 10.7 juta pada 1980 dan sejak itu menunjukkan trend menurun.[16] Anggaran rasmi KSH meletakkan jumlah penduduk pada 9,488,428 orang pada 1 Januari 2026.[17]

Penurunan jangka panjang ini terutama berkaitan dengan penurunan semula jadi, iaitu jumlah kematian yang melebihi kelahiran, walaupun penghijrahan antarabangsa telah mengimbangi sebahagian daripada penyusutan tersebut. Antara banci 2011 dengan 2022, lebihan kematian berbanding kelahiran berjumlah kira-kira 464,000 orang, manakala penghijrahan menambah kira-kira 131,000 orang kepada jumlah penduduk.[18] Pada 2022, terdapat 218,000 warganegara asing yang menetap di Hungary, 52% lebih ramai berbanding 2011; kira-kira tiga perempat daripada mereka berasal dari negara Eropah.[16]

Penduduk Hungary juga semakin menua. Dalam banci 2022, hampir dua juta penduduk berumur 65 tahun ke atas, iaitu 42% lebih ramai daripada penduduk berumur di bawah 15 tahun. Nisbah jantina pula ialah 1,078 wanita bagi setiap 1,000 lelaki, berbanding 1,106 wanita bagi setiap 1,000 lelaki pada 2011.[16] Pada 2026, indeks penuaan KSH, yang membandingkan penduduk berumur 65 tahun ke atas dengan penduduk berumur 14 tahun ke bawah, mencapai 147.8%.[19]

Etnik dan bahasa

[sunting | sunting sumber]

Soalan banci mengenai etnik, bahasa ibunda dan bahasa yang digunakan bersama keluarga atau rakan adalah sukarela. Dalam Banci 2022, 86% penduduk menjawab soalan mengenai hubungan etnik.[16] Berdasarkan ukuran KSH mengenai hubungan dengan sesuatu etnik, yang mengambil kira pengenalan etnik serta ciri bahasa yang berkaitan, 8,438,129 orang direkodkan sebagai mempunyai hubungan dengan etnik Hungary. Antara kumpulan etnik domestik lain, Roma merupakan kumpulan terbesar dengan 209,909 orang, diikuti oleh Jerman (142,551), Slovak (29,881), Romania (27,554) dan Ukraine (24,615).[20] Oleh sebab soalan ini bersifat sukarela dan ukuran hubungan etnik KSH menggabungkan beberapa petunjuk identiti dan bahasa, angka tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai pecahan eksklusif daripada seluruh penduduk yang semestinya berjumlah 100%.

Bahasa Hungary merupakan bahasa utama negara; Banci 2022 mendapati bahawa 99% penduduk boleh bertutur dalam bahasa tersebut. Bahasa Hungary tergolong dalam rumpun bahasa Uralik, bukannya rumpun bahasa Indo-Eropah yang merangkumi kebanyakan bahasa negara jirannya. Bahasa Finland dan bahasa Estonia turut tergolong dalam rumpun Uralik, walaupun berada dalam cabang yang berbeza daripada bahasa Hungary.[21] Dalam kalangan bahasa asing, bahasa Inggeris merupakan yang paling meluas, dengan kira-kira seorang daripada setiap empat penduduk dapat menuturkannya pada 2022. Bahasa Jerman pula dituturkan oleh sekitar 1.2 juta orang, diikuti antaranya oleh bahasa Rusia, Perancis dan Romania.[16]

Soalan tentang agama dalam Banci 2022 juga bersifat sukarela dan dijawab oleh kira-kira 60% penduduk. Dalam kalangan mereka yang menjawab, 50.2% menyatakan hubungan dengan Katolik, termasuk 46.0% Katolik Rom dan 2.9% Katolik Yunani. Kira-kira 16.4% ialah penganut tradisi Reformasi atau Calvinis, 3.1% Lutheran, manakala 26.9% menyatakan bahawa mereka tidak tergolong dalam mana-mana gereja atau mazhab.[22] Oleh sebab 40.1% daripada keseluruhan penduduk tidak menjawab soalan agama, taburan dalam kalangan responden tidak semestinya mewakili taburan seluruh penduduk.[16]

Agama dan hubungan dengan mazhab di Hungary, Banci 2022[22]
Agama atau hubungan dengan mazhab Penduduk % jumlah penduduk
Katolik 2,886,619 30.1
Kristian Ortodoks 15,578 0.2
Reformasi (Calvinis) 943,982 9.8
Lutheran 176,503 1.8
Yahudi 7,635 0.1
Gereja atau mazhab lain 171,174 1.8
Tidak tergolong dalam mana-mana gereja atau mazhab 1,549,610 16.1
Tidak mahu menjawab atau tiada jawapan 3,852,533 40.1
Jumlah 9,603,634 100.0
Potret Franz Liszt oleh Henri Lehmann
Franz Liszt, penggubah dan virtuoso piano Hungary yang berpengaruh pada zaman Romantik.

Muzik Hungary merangkumi tradisi muzik rakyat yang kaya serta tradisi muzik klasik yang mempunyai pengaruh antarabangsa. Dalam muzik rakyat, ensembel alat muzik bertali memainkan peranan penting dalam mengiringi tarian, nyanyian dan kegiatan masyarakat. UNESCO memasukkan Hungarian string band tradition ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2022, dengan menyifatkannya sebagai salah satu bentuk ensembel yang paling menonjol dalam budaya muzik rakyat Hungary.[23] Gerakan Táncház pula menggabungkan muzik dan tarian rakyat secara langsung dengan kaedah pengajaran moden; UNESCO memilih kaedah tersebut pada 2011 sebagai model pemeliharaan dan pewarisan warisan budaya tidak ketara.[24]

Dalam muzik klasik, Franz Liszt merupakan salah seorang virtuoso piano dan penggubah utama abad ke-19. Pada awal abad ke-20, Béla Bartók dan Zoltán Kodály menjalankan penyelidikan dan pengumpulan muzik rakyat secara sistematik, di samping menggabungkan unsur tradisional tersebut ke dalam karya mereka. Pendekatan pendidikan muzik yang dikaitkan dengan Kodály kemudiannya tersebar ke peringkat antarabangsa; usaha Hungary menggunakan konsep tersebut untuk mendokumentasikan, memelihara dan menyampaikan muzik rakyat dipilih oleh UNESCO pada 2016 sebagai amalan perlindungan warisan budaya tidak ketara yang baik.[25] Antara penggubah Hungary yang mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua ialah György Ligeti, György Kurtág dan Péter Eötvös.

Gulyás dimasak di dalam kawah
Gulyás, sup daging berempah yang menjadi antara hidangan Hungary yang paling dikenali.

Masakan Hungary berkembang daripada tradisi serantau Eropah Tengah dan terkenal terutamanya dengan penggunaan paprika, bawang, sayur-sayuran, daging dan krim masam. Antara hidangan yang paling dikenali ialah gulyás, yang dalam tradisi Hungary lazimnya berupa sup daging dan sayur-sayuran, berbeza daripada hidangan lebih pekat yang sering disebut sebagai "goulash" di luar Hungary. Hidangan rebusan daging yang lebih pekat dikenali sebagai pörkölt, manakala paprikás biasanya menggunakan paprika dan krim masam.[26]

Hidangan lain termasuk halászlé, iaitu sup ikan berpaprika, lángos, roti leper yang digoreng, serta pelbagai pastri dan pencuci mulut seperti rétes atau strudel dan Dobos torta. Tradisi wain juga mempunyai kedudukan penting dalam budaya makanan Hungary. Tokaj di timur laut negara itu mempunyai sejarah penanaman anggur dan pengeluaran wain yang panjang; UNESCO memasukkan Landskap Budaya Bersejarah Wilayah Wain Tokaj ke dalam Tapak Warisan Dunia pada 2002 kerana landskapnya mencerminkan tradisi pengeluaran wain yang telah berkembang selama berabad-abad.[27]

Sains dan teknologi

[sunting | sunting sumber]
Potret Katalin Karikó
Ahli biokimia kelahiran Hungary Katalin Karikó, penerima bersama Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan 2023.

Hungary mempunyai tradisi penting dalam matematik, fizik, perubatan dan teknologi. Pada abad ke-19, János Bolyai mengembangkan salah satu sistem awal geometri bukan Euclid secara bebas; karyanya diterbitkan sebagai lampiran kepada buku bapanya, Farkas Bolyai, pada 1832.[28] Pada abad ke-20, John von Neumann memberikan sumbangan asas kepada matematik, teori permainan dan pengkomputeran. Projek komputer elektronik yang dipimpinnya di Institut Kajian Lanjutan di Princeton membantu membentuk reka bentuk komputer atur cara tersimpan; struktur logik yang dikaitkan dengannya menjadi asas kepada banyak komputer digital yang dibangunkan kemudian.[29]

Beberapa saintis kelahiran Hungary menerima Hadiah Nobel. Albert Szent-Györgyi menerima Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan 1937 bagi penyelidikannya mengenai proses pembakaran biologi dengan perhatian khusus kepada vitamin C,[30] manakala Dennis Gabor menerima Hadiah Nobel dalam Fizik 1971 atas penciptaan dan pembangunan kaedah holografi.[31] Pada 2023, ahli biokimia kelahiran Hungary Katalin Karikó dan Drew Weissman menerima Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan bagi penemuan mengenai pengubahsuaian bes nukleosida yang membolehkan pembangunan vaksin mRNA yang berkesan terhadap COVID-19.[32]

Sumbangan Hungary kepada teknologi turut merangkumi ciptaan yang mendapat penggunaan meluas. Ernő Rubik, seorang profesor seni bina Hungary, menghasilkan prototaip pertama Kiub Rubik pada 1974.[33] Dalam bidang pengkomputeran pula, ahli matematik Hungary-Amerika John G. Kemeny bersama Thomas E. Kurtz dan pelajar mereka di Dartmouth College membangunkan bahasa pengaturcaraan BASIC dan sistem perkongsian masa Dartmouth pada 1964, dengan tujuan menjadikan penggunaan komputer lebih mudah dicapai oleh bukan pakar.[34]

Potret László Krasznahorkai
László Krasznahorkai, penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan 2025.

Kesusasteraan Hungary mempunyai tradisi puisi, drama dan prosa yang berkait rapat dengan perkembangan bahasa Hungary moden dan sejarah politik negara tersebut. Pada abad ke-19, Ferenc Kölcsey, Sándor Petőfi dan János Arany menjadi antara tokoh utama kanun sastera Hungary. Petőfi khususnya berkait rapat dengan Revolusi Hungary 1848, manakala karya puisi dan balada Arany kekal penting dalam pendidikan dan tradisi kesusasteraan negara itu. Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, tokoh seperti Endre Ady, Mihály Babits, Dezső Kosztolányi dan Attila József memperluas bentuk serta tema puisi dan prosa Hungary.

Kesusasteraan abad ke-20 turut dibentuk oleh perang, perubahan sempadan, pemerintahan autoritarian, Holokus dan pengalaman penghijrahan. Antara penulis penting zaman ini ialah Sándor Márai, Zsigmond Móricz, Gyula Illyés dan Magda Szabó. Imre Kertész, yang dihantar ke Auschwitz dan kemudian Buchenwald semasa remaja, banyak menulis tentang pengalaman individu di bawah penindasan totalitarian dan pengalaman Holokus.[35] Beliau menjadi penulis Hungary pertama yang menerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada 2002.[36]

Pada penghujung abad ke-20 dan awal abad ke-21, karya Péter Esterházy, Péter Nádas dan László Krasznahorkai mendapat pembaca antarabangsa melalui terjemahan. Krasznahorkai, yang terkenal dengan novel dan prosa berstruktur panjang serta tema apokaliptik dan eksistensial, menerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan 2025.[37]

Nándor Hidegkuti dan Ferenc Puskás dalam perlawanan bola sepak pada 1954
Nándor Hidegkuti dan Ferenc Puskás dalam perlawanan Amsterdam XI menentang Budapest XI pada 14 Mei 1954.

Sukan di Hungary mempunyai tradisi yang kukuh dalam pertandingan antarabangsa, khususnya di Sukan Olimpik. Hungary secara sejarah mencapai kejayaan dalam acara seperti lawan pedang, renang, polo air, berkanu pecut dan pentatlon moden. Pada Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris, Hungary memenangi 19 pingat, terdiri daripada enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.[38] Dalam lawan pedang, tradisi Hungary amat menonjol dalam acara sabre, selain kejayaan dalam épée dan foil; pasukan épée lelaki Hungary, misalnya, memenangi pingat emas di Paris 2024.

Polo air merupakan antara sukan berpasukan yang paling berjaya bagi Hungary. Pasukan lelaki negara itu telah memenangi sembilan pingat emas Olimpik, jumlah gelaran terbanyak dalam sejarah acara polo air lelaki Olimpik.[39] Kejayaan tersebut merangkumi tiga kejuaraan Olimpik berturut-turut pada 2000, 2004 dan 2008.

Dalam bola sepak, pasukan Hungary pada awal 1950-an yang dikenali sebagai Aranycsapat atau "Pasukan Emas" merupakan salah satu pasukan kebangsaan paling berpengaruh pada zamannya. Tokoh utamanya, Ferenc Puskás, menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan antarabangsa, memenangi pingat emas Olimpik pada 1952 dan membantu Hungary mara ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 1954. Selepas meninggalkan Hungary susulan Revolusi Hungary 1956, beliau menyertai Real Madrid pada 1958 dan seterusnya memenangi lima kejuaraan La Liga serta tiga Piala Eropah bersama kelab tersebut.[40]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. "The Story Behind the Hungarian National Anthem". Jules S. Vállay. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 October 2017. Dicapai pada 8 May 2017.
  2. "CIA World Factbook weboldal". Dicapai pada 3 June 2009.
  3. "22.1.1.1. Main indicators of population and vital events" (dalam bahasa Hungary). Központi Statisztikai Hivatal. Dicapai pada 9 Februari 2022.
  4. 1 2 3 4 "World Economic Outlook Database, April 2023". IMF.org. Tabung Kewangan Antarabangsa. April 2023.
  5. "Gini coefficient of equivalised disposable income – EU-SILC survey". ec.europa.eu. Eurostat. Dicapai pada 9 Ogos 2021.
  6. "Human Development Report 2021/2022" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Rancangan Pembangunan PBB. 8 September 2022. Dicapai pada 8 September 2022.
  7. Golden 1992, m/s. 102–103.
  8. 1 2 Elter, István (1997). "A magyarok elnevezései arab forrásokban [The Names of the Magyars in Arabic Sources]". Honfoglalás és nyelvészet [The Occupation of Our County and Linguistics] (dalam bahasa Hungary). Budapest: Balassi Kiadó. m/s. 266. ISBN 963-506-108-0. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-13. Dicapai pada 2013-10-01.[halaman diperlukan]
  9. OSZK Diarkibkan 2008-04-16 di Wayback Machine.
  10. Hungary, Encyclopædia Britannica.
  11. Kristó 1996a, m/s. 229.
  12. Istvan, Zimonyi (2016). Muslim Sources on the Magyars in the Second Half of the 9th Century. Brill. m/s. 27, 38–61. ISBN 978-90-04-21437-8.
  13. Róna-Tas, András (1999). Hungarians and Europe in the early Middle Ages: an introduction to early Hungarian history. Routledge. m/s. 297–302. ISBN 9789639116481.
  14. Welcome to Encyclopædia Britannica's Guide to History
  15. "Gyurcsány modifies date" Diarkibkan 2007-09-28 di Wayback Machine, Világgazdaság
  16. 1 2 3 4 5 6 "Census 2022 – Main population characteristics (national and regional data)". Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  17. "22.1.2.4. Population by type of settlement, 1st January". Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  18. "Censuses". Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  19. "Population and vital events". Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  20. "1.1.6. Ethnicity, mother tongue" (XLSX). Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  21. Bakró-Nagy, Marianne (2012). "The Uralic Languages". Revue belge de Philologie et d'Histoire. 90 (3): 1001–1027. doi:10.3406/rbph.2012.8272.
  22. 1 2 "1.1.7. Religion" (XLSX). Hungarian Central Statistical Office. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  23. "Hungarian string band tradition". UNESCO Intangible Cultural Heritage. UNESCO. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  24. "Táncház method: a Hungarian model for the transmission of intangible cultural heritage". UNESCO Intangible Cultural Heritage. UNESCO. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  25. "Safeguarding of the folk music heritage by the Kodály concept". UNESCO Intangible Cultural Heritage. UNESCO. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  26. Cloake, Felicity (3 April 2014). "How to cook the perfect goulash". The Guardian. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  27. "Tokaj Wine Region Historic Cultural Landscape". UNESCO World Heritage Centre. UNESCO. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  28. "Chronology for 1830–1840". MacTutor History of Mathematics Archive. University of St Andrews. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  29. "Electronic Computer Project". Institute for Advanced Study. Institute for Advanced Study. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  30. "The Nobel Prize in Physiology or Medicine 1937". NobelPrize.org. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  31. "The Nobel Prize in Physics 1971". NobelPrize.org. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  32. "Press release: The Nobel Prize in Physiology or Medicine 2023". NobelPrize.org. 2 Oktober 2023. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  33. "History". Rubik's. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  34. "BASIC Begins at Dartmouth". Dartmouth College. Dartmouth College. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  35. "Imre Kertész – Biographical". NobelPrize.org. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  36. "The Nobel Prize in Literature 2002". NobelPrize.org. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  37. "The Nobel Prize in Literature 2025". NobelPrize.org. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  38. "Paris 2024 Olympic Medal Table". Olympics.com. International Olympic Committee. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  39. "Hungary defeat Spain to win bronze in men's water polo". Olympics.com. International Olympic Committee. 8 Ogos 2021. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
  40. "Gianni Infantino praises "special museum" to honour Ferenc Puskás". FIFA. Fédération Internationale de Football Association. 25 November 2024. Dicapai pada 19 Ogos 2026.
Sumber
  • Kristó, Gyula (1996a). Hungarian History in the Ninth Century. Szegedi Középkorász Muhely. ISBN 963-482-113-8.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]