Undang Yang Empat

Dato' Undang Yang Empat (sebutan dalam loghat tempatan: Undang Nan Ompek) ialah gelaran Pembesar Memerintah (Raja) bagi Negeri Sembilan. Gelaran Undang mula digunakan apabila peristiwa "Putus Tali ke Johor" di mana Luak Berundang ini mendapat kemerdekaan penuh dari Sultan Johor dan berkerajaan sendiri.
Undang bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.[1]
Sejarah

Asal-Usul dan Pengiktirafan Awal
Undang pada asalnya adalah penghulu yang dilantik dalam kalangan suku Biduanda, iaitu suku pembesar Melayu berketurunan batin Orang Asli Sakai dan Jakun yang berkahwin campur dengan pembesar Kesultanan Johor Lama dan pembesar Minangkabau semasa zaman awal Negeri Sembilan.
Penghulu ini kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Johor-Riau dan diperakui sebagai pemerintah berdaulat dalam wilayah masing-masing dan dipercayai mula memakai gelaran Undang pada abad ke-18.[1]
Kelestarian Kedudukan di Bawah Penjajahan
Kedudukan Undang sebagai pemerintah terus diiktiraf oleh Belanda dan British pada abad ke-19 selain Raja-raja Melayu lain dan memainkan peranan dalam mengasaskan institusi asas Tanah Melayu yang menjadi teras kewujudan Malaysia.
Sumbangan terhadap Institusi Persekutuan
Sistem pelantikan dan penggiliran Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan Undang di Negeri Sembilan. Undang juga memainkan peranan dalam mengasaskan Rejimen Askar Melayu Diraja, penubuhan Majlis Perundingan Persekutuan yang kemudian menjadi Parlimen serta sistem pentadbiran awam Malaya (kini Malaysia).[1]
Kedudukan Dalam Perlembagaan
Kedudukan di Sisi Perlembagaan
Kedudukan dan keistimewaan Undang selaku Raja diiktiraf di bawah Perkara 71,[2] Perkara 160,[3] dan Perkara 181[4] Perlembagaan Persekutuan Malaysia, serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Negeri Sembilan mempunyai empat orang Undang yang mengetuai empat wilayah atau luak utama di negeri tersebut. Mereka terdiri daripada Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, dan Undang Rembau, yang secara kolektif dikenali sebagai Undang Yang Empat.
Peranan dan Kuasa Prerogatif
Undang Yang Empat dianggap sebagai empat "beradik" yang mempunyai kuasa besar dalam menentukan hala tuju pemerintahan beraja di Negeri Sembilan. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar dikehendaki mendapatkan persetujuan Undang Yang Empat bagi sebahagian besar kuasa budi bicara Baginda di peringkat negeri.
Peranan paling utama Undang Yang Empat adalah untuk memilih dan menabal Yang di-Pertuan Besar mengikut peruntukan Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Undang Yang Empat untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, serta menarik balik segala kuasa dan keistimewaan Yang di-Pertuan Besar. Tindakan ini boleh diambil sekiranya penyandang didapati melanggar hukum syarak, bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh Negeri, atau dinilai tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.
Kuasa Persetujuan dan Keanggotaan Dewan
Undang juga memegang peranan utama lain yang memerlukan kuasa persetujuan bersama berhubung perkara-perkara berikut:
- Pelantikan Menteri Besar;
- Penangguhan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan;
- Pengurniaan darjah kebesaran negeri;
- Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu;
- Kedudukan tanah adat dan rizab Melayu;
- Kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain; dan
- Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mengikut Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Undang Yang Empat merupakan ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (The Council of Yang di-Pertuan Besar and the Ruling Chiefs of Negeri Sembilan). Dewan ini dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar dan turut dianggotai oleh Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, serta Dato' Shahbandar Sungai Ujong.
Senarai Undang Yang Empat di Negeri Sembilan
Secara tradisinya, Undang adalah Raja Melayu dalam jajahannya yang dikenali sebagai luak atau luhak. Pemilihan dan pelantikan Undang dilakukan oleh oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesebuah luak itu mengikut adat yang diamalkannya.
| Luak | Gelaran Pemerintah | Sistem Pemilihan & Waris | Sejarah Pemerintahan & Asal-Usul |
|---|---|---|---|
| Undang Luak Sungai Ujong, Negeri Sembilan | Dato' Klana Petra | Dipilih mengikut Adat Purbakala daripada Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir yang berpusat di Mukim Pantai, Seremban. | Bermula sejak tahun 1760, dengan pelantikan Dato' Klana Petra Bador daripada Waris Hulu sebagai Undang yang pertama.
|
| Undang Luak Jelebu, Negeri Sembilan | Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman | Dipilih secara bergilir-gilir dalam kalangan tiga waris berundang, iaitu Waris Ulu Jelebu, Waris Sarin, dan Waris Kemin. | Diwujudkan pada tahun 1757, dengan Dato' Moyang Salleh sebagai Undang pertama selepas mencapai kemerdekaan daripada Kesultanan Johor. |
| Undang Luak Johol, Negeri Sembilan | Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan | Ditentukan dan dipilih daripada susur galur Waris Johol Bukit Istana dan Baruh. | Mula memerintah pada tahun 1723. Undang pertamanya merupakan seorang wanita yang bergelar Puteri Kanun atau Puteri Sitiawan. |
| Undang Luak Rembau, Negeri Sembilan | Penyandang daripada Waris Biduanda Jakun digelar Dato' Lela Maharaja, manakala penyandang daripada Waris Biduanda Jawa digelar Dato' Sedia Raja. | Dipilih secara bergilir antara Waris Biduanda Jawa dan Waris Biduanda Jakun bagi menyandang pusaka Undang Rembau. | Diasaskan di Kampung Kota, Rembau pada tahun 1540 oleh Undang pertama, Dato' Seri Rama, ketika zaman pemerintahan Sultan Johor pertama, Sultan Alauddin Riayat Shah II. |
Penjawat Semasa
| Luak | Gelaran Tradisional | Nama Penyandang Semasa[5] | Tarikh Mula Memerintah | Catatan / Status Penggiliran |
|---|---|---|---|---|
| Sungai Ujong | YTM Dato' Klana Petra | Muhammad Faris Bin Johari Abdul Rahman Bin Limat |
22 April 2026 10 Mei 2026 |
Undang Luak Sungai Ujong ke-11. Kedua-dua dimasyhurkan di Kampung Chedang, Seremban mengikut aturan Waris Hulu. |
| Jelebu | YTM Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman | Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad | 26 Jun 2018 | Undang Luak Jelebu ke-16. Dipilih daripada pecahan Waris Kemin. |
| Johol | YTM Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan | Dato' Muhammed bin Hj. Abdullah | 7 Oktober 2016 | Undang Luak Johol ke-14. Berasal daripada susur galur Waris Johol. |
| Rembau | YTM Dato' Sedia Raja | Dato' Haji Abdul Rahim Yassin | 15 Mei 2024 | Undang Luak Rembau ke-22. Dimasyhurkan secara rasmi bagi menggantikan Almarhum Datuk Muhamada Sharip Othman. |
Lihat juga
Rujukan
- 1 2 3 Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
- ↑ "Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan: Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri".
- ↑ "Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan".
- ↑ "Perkara 181: Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja".
- ↑ "Undang dan Tunku Besar Tampin". Portal rasmi Kerajaan Negeri Sembilan. April 2024. Dicapai pada 30 Mei 2024.
